Rumah Dan Kereta Rosak Akibat Tanah Runtuh.


Kota Kinabalu: Dua penghuni sebuah rumah terselamat selepas rumah mereka di Bukit Kopungit, di sini, runtuh, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 8 malam itu dipercayai berlaku ekoran hujan berterusan sehingga mengakibatkan mendapan tanah.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.14 malam.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi, sebuah rumah terjejas akibat tanah runtuh berkenaan namun tidak membabitkan mangsa.

“Pasukan bomba terus memasang sawar-sawar dan memberi khidmat nasihat langkah berjaga-jaga kepada penduduk sekitar bagi mengelakkan kemerbahayaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, tiada mangsa terbabit selepas dua penghuni rumah berkenaan sempat berpindah sebelum kejadian.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, JBPM turut menerima panggilan berhubung tanah runtuh di Eco Farm, Jalan Bukit Bendera, jam 9 pagi tadi.

Menurutnya, dalam kejadian itu turut mengakibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang diletakkan di bahu jalan berkenaan tergelongsor jatuh ke dalam gaung.

Katanya, kenderaan berkenaan terjatuh sejauh kira-kira 30 meter namun tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan.

“Pasukan bomba kemudiannya bertindak melakukan kerja-kerja pemantauan Kawasan persekitaran.

“Operasi Bomba ditamatkan selepas membuat penilaian keselamatan akhir bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan yang boleh menggugat nyawa dan hartabenda.,” katanya,

Tamat