Mayat Wanita Lengkap Berpakaian Ditemui.

Kota Kinabalu: Satu mayat wanita lengkap berpakaian ditemui terlentang berhampiran tempat pembuangan sampah di kawasan Bandaran Berjaya, di sini, hari ini.

Mayat wanita yang belum dapat dikenalpasti itu ditemui orang awam kira-kira jam 7 malam tadi sebelum terus melaporkan kepada pihak polis.

Difahamkan, wanita terbabit didakwa sering kelihatan berkeliaran di kawasan berkenaan namun tidak dapat dipastikan sama ada mangsa bekerja atau tinggal di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mayat terbabit menerusi panggilan kecemasan daripada orang awam.

Katanya, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Siasatan di lokasi penemuan mayat mangsa turut dibantu pasukan Forensik Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti identiti mangsa dan punca kematiannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.