Ditemui Dengan Kesan Lebam.

Kota Kinabalu: Mayat wanita yang ditemui berhampiran tempat pembuangan sampah di kawasan Bandaran Berjaya, di sini, malam tadi, didapati mempunyai kesan lebam di mata dan muka mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kesan lebam berkenaan ditemui hasil pemeriksaan secara fizikal terhadap mayat mangsa.

Katanya, terdapat kesan lebam yang jelas di bahagian muka dan mata si mangsa namun masih menunggu laporan lengkap bahagian forensik.

“Apabila dilihat secara fizikal, terdapat kesan lebam di muka dan mata mangsa… sama ada unsur jenayah atau tidak, kita perlu tunggu laporan lengkap daripada bahagian forensik

“Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes juga diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Habibi berkata, laporan awal perubatan mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia sehari sebelum mayat berkenaan ditemui.

“Identiti mangsa dipercayai berusia lingkungan 30-an itu masih belum dikenal pasti dan dipercayai bukan warga tempatan ekoran tiada tanda suntikan BCG pada lengan wanita terbabit.

“Orang ramai kehilangan ahli keluarga wanita diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran.

“Setakat ini mayat mangsa masih ditempatkan dibilik mayat Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE) untuk proses bedah siasat,” katanya.

Semalam, Asia Times melaporkan penemuan mayat seorang wanita kira-kira jam 7 malam tadi.

Ketika ditemui mangsa berpakaian lengkap namun tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa.

tamat