Larikan Jenazah, Empat Ditahan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad


Lahad Datu: Empat beradik ditahan polis selepas bertindak melarikan jenazah dalam kejadian di Hospital Lahad Datu, di sini, semalam.

Keempat-empat beradik berusia 26 hingga 31 tahun itu dipercayai bertindak sedemikian selepas enggan membenarkan pihak hospital menjalankan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pengurusan wabak Covid -19 terhadap jenazah bapa mereka.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, sebelum meninggal dunia, lelaki berusia 58 tahun terbabit dimasukkan ke hospital akibat masalah kesihatan dan diletakkan di bawah kategori ‘Patient-Under-Investigation’ (PUI).

Katanya, mengikut kepada rekod kesihatan, lelaki berkenaan mempunyai sejarah sakit otak dan pernah diserang angin ahmar.

“Semasa di hospital, pasukan perubatan sempat memberikan pertolongan cemas pernafasan (CPR) selama 30 minit sebelum disahkan meninggal dunia.

“Petugas perubatan kemudiannya memberi penerangan kepada ahli keluarga berhubung SOP pengurusan jenazah ketika krisis wabak Covid-19 dan keperluan menjalani ujian saringan bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rohan berkata, jenazah berkenaan juga perlu disimpan di bilik mayat Jabatan Forensik sehingga keputusan ujian covid-19 diterima.

Bagaimanapun katanya, waris enggan meninggalkan jenazah di hospital dan terus bertindak menolak jenazah keluar daripada khemah zon PUI sebelum dibawa balik ke rumah mereka.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis melakukan serbuan terhadap rumah keluarga berkenaan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Panji, di sini.

“Dalam serbuan itu, polis bertindak menahan empat suspek membabitkan seorang wanita dan tiga lelaki.

“Jenazah berkenaan juga turut dijumpai oleh pasukan serbuan di ruang tamu di rumah perkampungan atas air berkenaan,”’katanya.

Rohan berkata, siasatan kes sedang dijalankan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda atau penjara selama dua tahun atas kedua-duanya sekali.

Selain itu katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Semua suspek ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Tamat