Larikan Jenazah Bapa, Empat Beradik Direman Tiga Hari.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali

Lahad Datu: Empat beradik yang ditahan polis selepas melarikan jenazah bapa mereka daripada Hospital Lahad Datu, direman selama tiga hari bermula hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, semua suspek berusia 26 hingga 31 tahun itu direman untuk siasatan lanjut kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pengurusan wabak Covid -19 ditetapkan.

Katanya, jenazah lelaki berusia 58 tahun terbabit yang menerima rawatan hospital berkenaan diletakkan di bawah kategori ‘Patient-Under-Investigation’ (PUI).

“Ahli keluarga suspek sudah diberikan penerangan berhubung SOP pengurusan jenazah ketika krisis wabak Covid-19 dan perlu menjalani ujian saringan risiko jangkitan.

“Bagaimanapun, semua suspek enggan menuruti SOP berkenaan dan nekad melanggar prosedur dengan membawa balik jenazah ke rumah mereka di Kampung Panji, Lahad Datu ,”’katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.

Hazani berkata, jenazah berkenaan sudah dibawa balik bilik mayat Jabatan Forensik untuk proses dan keputusan ujian covid-19 sebelum pengkebumian diuruskan.

Katanya, siasatan kes sedang dijalankan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda atau penjara selama dua tahun atas kedua-duanya sekali.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Sehubungan itu, Hazani berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi SOP ditetapkan dalam usaha memerangi penularan covid-19z

Katanya, tindakan sedemikian dibimbangi mencetuskan kluster baru seperti dilaporkan berlaku di negara jiran apabila seluruh kampung dijangkiti penyakit berkenaan selepas urusan pengkebumian jenazah positif covid-19z

Tamat