Suspek Larikan Jenazah Akan Dituduh Di Mahkamah Majistret.

Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Lahad Datu: Tiga daripada empat suspek melarikan jenazah dari Hospital Lahad Datu, di sini, akan dituduh di Mahkamah Majistret, Isnin depan.

Semua suspek berusia 26 hingga 31 tahun itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis bermula hari ini, selepas siasatan selesai dijalankan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, kertas siasatan kes sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Katanya, pihak pendakwa bersetuju untuk menuduh ketiga-tiga suspek mengikut Seksyen 22(a) Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, semua suspek sudah dibebaskan dengan diberikan jaminan polis bermula jam 8 pagi, hari ini, sementara menunggu proses pendakwaan.

“Hanya tiga suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Lahad Datu pada 25 Januari depan,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rohan berkata, salah seorang daripada orang yang ditahan sebelum ini pula dibebaskan tanpa sebarang tindakan lanjut.

Dalam kejadian Rabu lalu, empat beradik ditahan polis selepas bertindak melarikan jenazah bapa mereka dalam kejadian di Hospital Lahad Datu.

Keempat-empat beradik itu dipercayai bertindak sedemikian selepas enggan membenarkan pihak hospital menjalankan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pengurusan wabak Covid -19 terhadap jenazah bapa mereka.

Sebelum meninggal dunia, lelaki berusia 58 tahun terbabit dimasukkan ke hospital akibat masalah kesihatan dan diletakkan di bawah kategori ‘Patient-Under-Investigation’ (PUI).

Bagaimanapun, lelaki terbabit disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Tamat