KPDNHEP Sabah Keluar 5 Notis Premis Peniaga Barang Elektronik.

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah mengeluarkan lima notis terhadap lima peniaga selepas didapati menaikkan harga barang dalam Ops Catut 8.0.

Ops Catut 8.0 yang bermula semalam, sehingga 8 Februari depan bertujuan untuk membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga susulan pembelajaran dalam talian bagi murid dan pelajar untuk sesi persekolahan yang bermula 20 Januari 2021.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, notis berkenaan dikeluarkan dalam operasi Ops Catut 8.0 yang dijalankan sejak semalam.

Katanya, operasi berkenaan diadakan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga peralatan elektronik berikutan permintaan yang tinggi akibat pembelajaran atas talian.

“Barangan yang terbabit dalam pemeriksaan yang dijalankan adalah komputer meja (desktop), komputer riba (laptop), tablet, mesin pencetak (printer) dan telefon bimbit.

“Setakat ini, KPDNHEP Sabah sudah menjalankan pemeriksaan terhadap lima premis perniagaan dan mengeluarkan lima notis kepada peniaga peralatan elektronik kerana disyaki menaikkan harga,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Georgie berkata, lima notis yang dikeluarkan itu adalah bagi mendapatkan perincian harga jualan dan harga kos barangan bagi tujuan siasatan.

Katanya, ia bagi menyiasat sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau sebaliknya.

“Peniaga yang terbabit diberikan tempoh dua hari untuk membekalkan maklumat yang diarahkan kepada KPDNHEP,” katanya.

Sehubungan itu, Georgie mengingatkan kepada semua peniaga supaya tidak menaikkan harga peralatan elektronik secara tidak berpatutan.

Katanya, sekiranya didapati berlakunya, pesalah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi mana-mana pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan ini pula boleh didenda tidak melebihi RM500,000,” katanya.

Sementara itu, Georgie turut meminta orang ramai supaya menyalurkan aduan ke sembilan saluran aduan pengguna untuk tindakan segera membanteras kegiatan menaikkan harga barang sesuka hati.

Tamat