Esscom Tahan Lapan PTI

Tawau: Kawasan Keselamatan Khas pantai timur Sabah (ESSCOM) berjaya menahan lapan pendatang asing tanpa izin (pati) warga Indonesia dalam operasi Op Cegah Pati (OCP) Daratan, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 10.30 malam itu, semua ditahan ketika menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Kurnia Jaya Batu 4, Jalan Apas, di sini.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, bertindak atas maklumat penyeludupan pati, sepasukan anggota keselamatan melaksanakan tugas rondaan di kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan rondaan terdiri daripada enam anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), empat anggota Pasukan Polis Marin (PPM) dan lima anggota Enam Regiment Renjer Diraja (RRD) yang diketuai pegawai ESSCOM.

“Semasa operasi, pasukan anggota keselamatan menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan yang cuba melalui kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati terdapat seramai lapan penumpang yang terdiri daripada tiga lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan dua kanak-kanak berada di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, pemerikaaan lanjut mendapati semua individu terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, semua yang ditahan berusia lingkungan 6 hingga 47 tahun dipercayai baru masuk ke negara ini.

“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pemerdagangan dan Penyeludupan Migran (ATISOM) 2007.

“Turut dirampas Toyota Hilux yang digunakan dalam aktiviti berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fuad berkata, pihak ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan terus memperketatkan kawalan keselamatan.

Katanya, ia termasuk di kawasan sempadan perairan dan daratan di seluruh daerah kawasan ESSZone dengan mengadakan rondaan dan pemantauan secara agresif.

“Kita akan mengadaptasikan konsep “Show of Force” bagi mengawal kemasukan pati terutamanya daripada negara jiran dalam usaha kita untuk mengekang dan memutuskan rangkaian Covid-19 daripada merebak dibawa masuk ke negara ini melalui pati,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fuad sekali lagi menggesa masyarakat di kawasan ESSZone supaya sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan kepada pasukan keselamatan termasuk menjadi “mata dan telinga”.

Katanya, semua maklumat penting terutamanya kemasukan rokok seludup atau PATI melalui laluan-laluan yang tidak diwartakan ataupun jalan tikus boleh dilaporkan segera kepada pasukan keselamatan untuk tindakan segera.

“Semua maklumat boleh disalurkan menerusi Pusat Operasi ESSCOM ditalian 089-863181.

“Komuniti ESSZone juga diingatkan supaya tidak bersubahat atau bersekongkol dengan tekong-tekong darat dan laut yang cuba mengambil kesempatan untuk menyeludup sama ada rokok ataupun pati ke negara ini”.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ada pihak atau individu dalam kalangan komuniti yang bertindak bersubahat atau melindungi pati termasuk bersekongkol dengan tekong-tekong darat dan laut”, katanya.

Tamat