KOTA KINABALU: Empat kakitangan sebuah agensi Kerajaan Persekutuan di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas mengemukakan tuntutan palsu, hari ini.
Semua keempat-empat individu terbabit dikatakan mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu bagi tugasan rasmi di seluruh negara.
Menurut sumber, keempat-empat kakitangan awam terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an hingga 40-an.
Katanya, mereka mengemukakan resit hotel palsu sebagai tuntutan perjalanan mereka untuk menjalankan tugasan.
Sementara itu, Pengarah SPRM S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.
Katanya, semua mereka ditahan kira-kira jam 1 petang tadi untuk siasatan lanjut selama 24 jam.
“Semua mereka akan dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu esok untuk pertuduhan,” katanya.
Sehubungan itu, Karunanithy mengingatkan kakitangan kerajaan supaya tidak membabitkan diri dalam mengemukakan tuntutan palsu.
Katanya, sebarang tuntutan yang mengandungi butiran palsu adalah kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Tamat