Dua Pengedar Dadah Warga Asing Ditahan

Lahad Datu: Dua pengedar dadah warga asing berjaya ditahan dalam operasi khas yang dihalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, polis yang bertindak atas maklumat awam menahan sebuah kenderaan Proton Persona yang dinaiki kedua-dua suspek di kawasan parkir Darvel Bah Plaza, di sini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, suspek pertama yang juga pemandu kenderaan terbabit cuba melarikan diri dengan bertindak agresif selepas menyedari kehadiran polis.

Namun katanya, suspek pertama, 28, berjaya ditahan manakala rakan suspek berusia 43 tahun pula yang duduk hadapan tidak sempat melakukan sebarang tindakan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan berkenaan pula berjaya menemui beg yang berisi satu paket bertulis ‘Refined Chinese Tea’ mengandungi ketulan hablur jernih seberat 1.3 kilogram disyaki dadah jenis syabu.

“Turut disita kenderaan suspek bersama wang tunai sebanyak RM3,000,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Rohan berkata, kedua-dua suspek adalah warganegara Indonesia dan Filipina serta tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, ujian saringan air kencing pula mendapati kedua-dua mereka adalah negatif dari sebarang jenis dadah.

“Hasil rampasan dadah dalam kes ini dianggarkan bernilai RM36,297 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Manakala jumlah sitaan bagi barang kes pula dianggarkan bernilai keseluruhan RM79,297,” katanya.

Rohan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Rohan berkata, IPD Lahad Datu akan terus memperhebatkan usaha membanteras kegiatan membabitkan jenayah narkotik dari semasa ke semasa.

Katanya, sepanjang dua bulan pertama tahun ini, pihaknya sudah menahan lapan individu yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah termasuk kes terbaru berkenaan.

Tamat