Kawalan Keselamatan Vaksin Covid-19 Diperketatkan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM)


Kota Kinabalu: Kawalan keselamatan kumpulan pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech yang dijadualkan tiba 25 Februari ini, akan diperketatkan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, kawalan keselamatan membabitkan ketibaan bekalan berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hingga ke pusat penyimpanan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Katanya, pasukan polis akan mengiringi kenderaan yang dikhaskan membawa vaksin itu sepanjang perjalanan penghantaran berkenaan.

“Selain itu, kita juga bakal melakukan penghantaran bekalan vaksin sama ke Labuan pada hari sama sejurus vaksin tiba di Kota Kinabalu.

“Penghantaran dijangka menggunakan kapal terbang miliki Polis DiRaja Malaysia (PDRM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor menerusi kenyataan media mengesahkan akan turut hadir bagi menyambut kedatangan vaksin terbabit di KKIA Khamis ini.

Terdahulu, kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan Malaysia Airlines MH604 dengan menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang dikendalikan oleh MASkargo Sdn Bhd (MASKargo) pada jam 10 pagi, kelmarin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bakal menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 yang dijadualkan pada esok.

tamat