Vaksin Covid-19, Tiba Di Sabah

KOTA KINABALU: Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Terminal Dua, hari ini.

Vaksin sebanyak 16,380 dos itu tiba menggunakan pesawat Boeing Raya Airways kira-kira, jam 12.40 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Ketibaan vaksin berkenaan disambut Menteri Kewangan ll merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri.

Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

Masidi ketika ditemui berkata, ketibaan vaksin berkenaan terbahagi kepada enam penghantaraan bermula hari ini hingga sehingga 1 April depan.

Katanya, mengikut kepada perancangan, penghantaran pertama yang tiba hari ini adalah sebanyak 16,380 dos vaksin sebelum penghantaran kedua iaitu pada 4 Mac sebanyak 9,360 dos.

“Bagi penghantaran ketiga pula, vaksin berkenaan dijangka tiba pada 11 Mac iaitu membabitkan sebanyak 24,550 dos.

“Bagi penghantaran keempat pula akan tiba pada 18 Mac iaitu sebanyak 3,510 dos vaksin, dan kelima pada 25 Mac dengan 18,720 dos,” katanya pada sidang media, hari ini.

Masidi berkata, penghantaran terakhir pula dijangka pada 1 April iaitu sebanyak 31,590 dos vaksin.

Katanya, secara rasminya vaksinasi ini akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 4 Mac depan.

“Kita akan memilih tiga penerima pertama iaitu Ketua Menteri Sabah selaku ketua kerajaan, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dan penerima ketiga iaitu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

“Selepas itu, kita akan bagi kumpulan kepada tiga orang yang lain dan juga dalam kumpulan berasingan yang juga akan dilakukan pada hari yang sama dan seterusnya pada semua peringkat frontliners.

Katanya, jumlah semua frontliners tidak kira sama ada berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bukan KKM dianggarkan 42,117 orang.

tamat