Lima Ditahan Bersabit Kes Dadah.

PAPAR: Lima individu termasuk seorang warga asing ditahan dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di sekitar
daerah ini, semalam.

Dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 9 malam itu, semua suspek yang ditahan berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, semua yang ditahan direman di lokap IPD Papar untuk siasatan lanjut.

Katanya, empat individu yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Manakala salah seorang daripada yang suspek ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39(B) ADB 1952.

“Dalam operasi ini, polis turut berjaya merampas dadah jenis syabu dengan anggaran berat 51.24 gram,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Batholomew berkata, ujian saringan awal yang dijalankan terhadap semua suspek turut didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methapetamine.

“Kejayaan tangkapan ini adalah salah satu usaha PDRM, khususnya bagi Ibu Pejabat Polis Daerah Papar dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah.

“Disamping itu, operasi ini juga dijalankan dalam usaha mencegah aktiviti jenayah di daerah Papar ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya,

Sehubungan itu, menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah dan aktiviti jenayah di daerah ini supaya memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Tamat