Empat Wanita Dan Seorang Lelaki Ditahan.

Labuan: Empat wanita dan seorang lelaki ditahan polis selepas didapati terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dalam dua serbuan berasingan, semalam.

Serbuan pertama yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dijalankan di Labuan Times Square kira-kira jam 12 tengah hari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, hasil serbuan pertama itu, polis berjaya menahan dua wanita bersama tiga paket syabu seberat 7.26 gram daripada salah seorang suspek.

Katanya, serbuan kedua pada kira-kira jam 1.30 petang di sebuah rumah di Jalan Pulau Buah, di sini, dan menahan seorang lelaki bersama dua wanita.

“Dalam serbuan kedua itu, polis berjaya menemui 56 paket plastik pelbagai saiz berisi ketulan kristal di percayai dadah jenis Methapetamine.

“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM4975 dipercayai hasil kegiatan jual beli dadah bersama sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Ibrahim berkata, semua yang ditahan berusia lingkungan 25 hingga 38 tahun dan dadah yang berjaya dirampas pula dianggarkan seberat kira-kira 85.41 gram.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 39 A (1) ADB 1952 hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan tidak lebih lima tahun dengan rotan antara tiga hingga sembilan kali jika sabit kesalahan.

“Selain itu, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a)ADB 1952, hukuman denda tidak lebih RM 5000 ribu atau penjara tidak lebih dua tahun,” katanya.

Mohd Ibrahim berkata, dua tangkapan pertama ditahan reman selama empat hari manakala kumpulan kedua yang ditahan pula direman selama tujuh hari.

Tamat