Sindiket Pengedaran Dadah Tumpas.

Kota Kinabalu: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya menumpas satu sindiket pengedaran dadah selepas tertangkapnya seorang lelaki tempatan di Kondominium Alam Damai, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, sebanyak 87.89 gram dadah jenis ketamine, 6.38 gram serbuk ecstasy dan 781.59 gram serbuk dadah jenis Juice berjaya dirampas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi dijalankan berdasarkan kepada risikan dan intipan yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.

Katanya, hasil serbuan, polis berjaya menahan seorang pengganggur lelaki berusia 27 sebelum membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah.

“Hasil pemeriksaan awal terhadap suspek, polis menemui satu paket plastik dadah jenis ketamin di seluar suspek.

“Pemeriksaan lanjut di rumah suspek pula berjaya menemui enam paket ketamin, tujuh paket juice dan satu paket ecstasy yang disembunyikan di ruang tamu dan bilik utama rumah suspek” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, siasatan mendapati, semua dadah yang berjaya dirampas dipercayai untuk diedarkan kepada pengedar dadah di kawasan sekitar bandaraya ini.

Katanya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkam bernilai RM11,971 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kita percaya semua dadah yang dirampas berupaya memenuhi hampir 1,051 penagih dalam tempoh masa yang sama.

“Suspek yang ditahan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadi dalang sindiket pengedaran dadah untuk menghantar bekalan dengan upah sebanyak RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah namun didapati positif ketamin hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek.

“Selain itu, hasil penahanan suspek, polis turut merampas kereta Toyota 86 dan Toyota Hilux bersama wang tunai sebanyak RM3,000,” katanya.

Habibi berkata, jumlah keseluruhan harta sitaan yang dirampas dianggarkan sebanyak RM353,000.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) akta yang sama,” katanya.

Tamat