Penampang: Tiga penjenayah berjaya diberkas polis dalam tempoh 24 jam selepas memecah masuk sebuah rumah orang kenamaan (VIP) di sebuah taman perumahan di Putatan, di sini, kelmarin.
Semua suspek lelaki warga tempatan berusia 31 hingga 37 tahun itu ditahan hasil kecekapan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, kira-kira jam 9 malam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, semua suspek ditahan susulan laporan yang dibuat pemilik rumah berkenaan jam 10.23 pagi, Khamis lalu.
Katanya, suspek dipercayai membuka pintu pagar zink dan mengumpil tombol besi lalu masuk ke dalam bahagian dapur rumah berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati dompet mengandungi wang tunai, kad kredit dan dokumen penting hilang. Sejumlah wang bernilai RM7,000 dan wang tabung turut dilaporkan hilang.
“Bertindak atas laporan itu, polis kemudian melakukan tindakan susulan sebelum berjaya mengesan dan menangkap tiga lelaki disyaki terbabit dalam kes itu di tiga lokasi berasingan, jam 9 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Haris berkata, hasil serbuan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang disyaki milik pengadu.
“Siasatan lanjut mendapati dua daripada tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Ujian saringan air kencing juga mendapati semua suspek terbabit positif dadah syabu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.
Tamat