Jimmy Black Menyerah Diri.


Kota Kinabalu: Selepas lebih dua bulan diburu, suspek membabitkan kes rusuhan sehingga menyebabkan kematian di Restoran My Heaven Seafood, di Jalan Beaufort Jaya, Beaufort, Disember lalu, akhirnya menyerah diri, hari ini.

Suspek Hobalan N Vello atau lebih dikenali sebagai Jimmy Black, ditahan di Jalan Tunku Abdul Rahman berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, suspek berusia 37 tahun itu menyerah diri dan ditahan pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (D9).

Katanya, Jimmy ditahan selepas dikehendaki bersabit siasatan kes Beaufort membabitkan Seksyen 320 Kanun Keseksaan.

“Suspek akan ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut sebelum pendakwaan di mahkamah dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian Disember lalu, suspek Jimmy Black dikehendaki polis selepas kejadian serangan sekumpulan lelaki tempatan yang mabuk ke atas pemilik restoran iaitu suspek dan seorang lagi rakannya.

Rakan Jimmy, Kesavan Perembalam, 34, pula berjaya ditahan polis IPD Beaufort beberapa hari selepas kejadian.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki parah selepas ditetak menggunakan parang manakala seorang lagi turut cedera di kepala disyaki akibat dilibas menggunakan kepala tali pinggang.

Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Siasatan awal polis mendapati punca pergaduhan itu tercetus selepas seorang pelanggan yang datang bersama tiga rakannya untuk membeli minuman keras bertengkar mulut dengan pemilik restoran.

Tamat