Majlis Belia Sabah promosi keusahawan sosial melalui Synergy

Presiden MBS Ahmad Farid Sainuri.

KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) hari ini melancarkan program Belia Sabah Dalam Keusahawanan Sosial atau Synergy untuk membantu mempromosi perniagaan mereka.

Presidennya, Ahmad Farid Sainuri, berkata program itu bertujuan memberi impak positif kepada ekonomi belia dan pembangunan komuniti tempatan melalui keusahawanan sosial (SE).

Beliau berkata, di Sabah, lebih 2,000 usahawan muda di bawah Kementerian Belia dan Sukan Sabah dengan kebanyakan daripada mereka menceburi bidang perkhidmatan dan pengeluaran makanan berskala kecil.

Katanya, Sabah juga mempunyai usahawan sosial muda yang berjaya mencipta nama dalam bidang perniagaan di Malaysia seperti BorneoCocoa, EZPlast, Kundasang Aquafarm, dan Mount Kinabalu Coffee.

“Bidang SE masih lagi satu konsep baharu dalam kalangan usahawan muda di Sabah.

“Sebab itu kita menganjurkan program ini sebagai satu usaha untuk mempromosi belia yang membabitkan diri dalam kedua-dua aktiviti ekonomi yang memberi kesan secara positif kepada komuniti dan alam sekitar,” katanya.

Program Synergy disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah melalui Pusat Inovasi dan Ekonomi Kreatif Sabah (SCEIC) dan Pusat Kreativiti Malaysia (MaGIC).

Pengurus Besar SCEIC, Viviantie Sarjuni

Sementara itu, Pengurus Besar SCEIC, Viviantie Sarjuni, berkata beliau yakin usaha bersama membabitkan pelbagai pihak membolehkan konsep SE digunakan lebih ramai usahawan di negeri ini.

“Kita perlu mengukuhkan model perniagaan ini dengan mempelajari lebih banyak mengenai SE seperti jenis perniagaan sosial, penentuan kesan, daya tahan dan banyak lagi.

“Model perniagaan seperti ini dapat membantu ekonomi khususnya ketika pandemik dan mendekatkan jurang di antara pendapatan sosial yang berbeza,” katanya.

Viviantie menambah agensi kerajaan seperti MaGIC yang diwujudkan sejak 2014 banyak membantu dan menyokong SE.

Katanya, MaGIC membuat inisiatif ‘Buy For Impact’ untuk meningkatkan tingkah laku belian dalam kalangan orang awam, selain sektor awam dan swasta.

“Terdapat juga perintis SE yang berjaya di Sabah seperti Changgih Designs, Upcycled Shack, Pangrok Sulap, MJ by MUS, Borneo Cocoa, dan banyak lagi.

“SE dan para pengasasnya harus diberi penghargaan atas kerja keras mereka kerana menjadi perintis dan membuka jalan agar lebih banyak SE berkembang maju bukanlah pekerjaan yang mudah.”

Viviantie juga memberi jaminan bahawa mereka pasti akan menyokong program yang dapat menghasilkan lebih banyak usahawan belia dan kami berusaha untuk pelaksanaan program dari semasa ke semasa.

“Saya juga menggesa badan bukan kerajaan (NGO) tampil bersama kita jika mereka berminat bekerjasama menganjurkan program untuk komuniti,” katanya sambil menyatakan harapan agar program itu turut disertai usahawan belia dari kawasan luar bandar.

Penyertaan program Synergy dibuka mulai hari ini hingga akhir 21 Mac.

Maklumat lanjut mengenai program itu boleh diperolehi melalui laman sesawang www.sabahsynergy.com.

tamat