Simulasi Pemberian Vaksin Covid-19 di IPD Penampang

PENAMPANG: Simulasi pemberian Vaksin Covid-19, yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di sini, hari ini, berjalan lancar.

Proses simulasi itu diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada penerima vaksin mengenai situasi sebenar ketika pemberian vaksin Covid-19 yang dijadualkan pada 15 Mac depan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, IPD Penampang terpilih menjadi antara lokasi pusat pemberian suntikan vaksin Covid-19 pertama kepada petugas barisan hadapan.

Katanya, persediaan awal ini diambil bagi memastikan perjalanan proses pemberian vaksin itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“Hari ini, proses simulasi ini diadakan bagi memberi pendedahan awal kepada mereka yang terbabit terutamanya petugas barisan hadapan.

“Selain anggota dan pegawai polis, proses pemberian vaksin itu juga membabitkan warga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan beberapa lagi agensi barisan hadapan lain,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, proses pemberian vaksin itu dijangka membabitkan seramai 800 penerima.

Sementara itu, tinjauan proses simulasi yang sedang berlangsung di kawasan parkir IPD Penampang, hari ini, menyaksikan Mohd Haris sebagai penerima pertama.

Simulasi proses vaksin ini adalah selia Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dihadiri Pegawai Daerah Penampang.

Proses suntikan vaksin itu dijangka akan berlangsung selama tiga hari bermula 15 hingga 18 Mac depan.

tamat