Sepak Anak Saudara, Lelaki Ditahan Polis.

Beaufort: Hanya kerana tidur terganggu dengan bunyi bising, seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah sanggup mencederakan anak saudaranya dalam kejadian di Kampung Pimping, Membakut, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, lelaki berusia 39 tahun terbabit dikatakan menyepak bahagian pinggang anak saudaranya yang berusia 13 tahun selepas membuat bising ketika bermain permainan video di telefon pintar miliknya.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, perkara itu disedari adik suspek yang kemudiannya bertanyakan kepadanya dan suspek mendakwa mangsa membuat bising sehingga mengganggu tidurnya.

Katanya, suspek bagaimanapun mengaku tidak menendang dengan kuat namun adiknya percaya dia bertindak demikian kerana berada di bawah pengaruh dadah.

“Akibat dari kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan di bahagian pinggang dan dirujuk ke Hospital Beaufort untuk mendapatkan rawatan.

“Adik suspek kemudiannya membawa mangsa membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian dan berjaya menahan suspek kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Katanya, hasil siasatan, suspek juga mengaku ada mengambil dadah kira-kira tiga hari lalu.

“Siasatan lanjut mendapati, suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1953, Akta Penagihan Dadah 1983 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Beaufort untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

tamat