Tiga Ditahan Ops Tapis IPD Beaufort.

Beaufort: Tiga individu ditahan bersama 251.48 gram dadah jenis syabu dalam operasi Op Tapis yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort di Beaufort Sentral, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 9 pagi itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik yang menjalankan operasi terserempak dengan tiga individu dalam keadaan mencurigakan di sebuah premis berhampiran.

Polis kemudiannya terus menjalankan pemeriksaan terhadap ketiga-tiga individu berusia 26 hingga 49 tahun terbabit yang membawa kepada penemuan kotak kecil mengandungi peralatan menghisap syabu.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, hasil soal siasat, salah seorang suspek kemudiannya membawa polis ke sebuah bilik kecil di belakang premis berkenaan.

Katanya, suspek kemudiannya menyerahkan satu plastik mengandungi lima paket lut sinar kecil yang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Semua ketiga-tiga suspek terus ditahan dan dibawa ke IPD Beaufort untuk menjalani ujian awal saringan air kencing.

“Hasil ujian mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methapetamine,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Azmir berkata, seorang lagi suspek pula didapati negatif sebarang dadah berbahaya namun akan ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, polis akan memohon tahanan reman untuk ketiga-tiga suspek untuk siasatan lanjut.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” tegasnya.

Tamat