Tujuh Penagih Termasuk Dua Wanita Ditahan.

Penampang: Keasyikan empat individu termasuk dua wanita yang sedang menikmati khayal menagih syabu tidak berpanjangan apabila mereka ditahan di sebuah rumah di Platinum Apartment, Putatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ketika serbuan dijalankan, pihaknya mendapati seramai empat individu berada di rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, polis kemudian melakukan pemeriksaan secara menyeluruh terhadap rumah berkenaan yang membawa kepada penemuan lima paket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah.

“Semua empat individu terbabit kemudiannya ditahan dan dadah yang ditemui juga dirampas untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil soalsiasat, polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah di blok berlainan dan menahan tiga suspek lelaki,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Haris berkata, hasil serbuan di rumah kedua, polis berjaya merampas satu lagi paket plastik lutsinar berisi serbuk kristal.

Katanya, bahan yang disyaki dadah jenis syabu itu berjaya dirampas daripada pemilikan salah seorang saspek lelaki terbabit.

“Soal siasat masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

Tamat