Jangan Salah Guna Lesen Perniagaan.

Kota Kinabalu: Pengusaha perniagaan di daerah ini dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan lesen premis untuk tujuan lain sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ini berikutan tindakan beberapa premis kafe sebelum ini yang dikesan menjalankan aktiviti hiburan tanpa kebenaran.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mempunyai sebanyak 30 pasukan pemantau yang akan menjalankan operasi dari semasa ke semasa.

Katanya, selain daripada mencegah jenayah, pasukan pemantau ini juga akan memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi.

“Kita tahu sekarang SOP sudah dilonggarkan, jadi diharap masyarakat terutamanya premis-premis supaya tidak mengambil kesempatan salah guna lesen atau premis yang diberikan.

“Contohnya kafe yang sekarang ini dibenarkan tetapi untuk hiburan masih lagi tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program pemberian vaksin Covid-19 kepada pegawai dan anggota IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, pasukan pemantau ini akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan usaha memerangi pandemik Covid-19 ini berjaya.

Sementara itu, Habibi berkata, untuk program pemberian vaksin Covid-19, hari ini, adalah fasa kedua membabitkan seramai 33 pegawai dan anggota.

Katanya, semua pegawai dan anggota ini adalah antara mereka yang bertugas di barisan hadapan.

“Semua anggota dan pegawai ini adalah antara 1,270 orang yang akan menerima vaksin Covid-19 secara keseluruhannya dari IPD Kota Kinabalu,” katanya.

Tamat