Tetak Kucing, Lelaki Dijatuhi Hukuman Penjara 29 Bulan.

Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 32 tahun, hari ini, dijatuhi hukuman penjara 29 bulan selepas didapati bersalah menetak kucing jirannya dalam kejadian Julai tahun lalu.

Tertuduh, Jaferi Suman dijatuhi hukuman berkenaan oleh Majistret Lovely Natasha Charles  mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan seksyen berkenaan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut keterangan kes, tertuduh bertindak menetak kucing jirannya menggunakan parang secara kejam dalam kejadian di rumahnya Kampung Timbang Dayang, Kota Belud.

Kejadian disaksikan oleh beberapa anak jiran tertuduh sehingga menyebabkan mereka trauma dan ketakutan.

Suspek yang tidak diwakili peguam dikatakan seorang penagih dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon kepada Majistret supaya mengarahkan hukuman dijalankan bermula tarikh dia ditangkap.

Majistret kemudiannya membenarkan rayuan tertuduh dan pendakwaan kes dijalankan pegawai pendakwa Mohd U’kasyah Hashim.

Tamat