Ubah Suai Exzos Antara Saman Dikeluarkan.

KOTA BELUD: Ubah suai ekzos dan nombor plat adalah antara 13 motosikal yang ditahan dalam operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, semalam.

Dalam operasi Ops Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar daerah itu selama empat hari itu, semua motosikal berkenaan turut disita bagi membantu siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Mohd Zaidi Abdullah berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kota Belud dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah.

Katanya, sepanjang operasi itu, sebanyak 13 motosikal disita kerana ekzosnya diubahsuai selain beberapa kesalahan lain.

“Selain itu, ada juga motosikal yang dirampas selepas dipercayai terbabit dalam kes dicuri pada tahun 2012.

“Dalam operasi ini, polis turut mengeluarkan sebanyak 23 saman trafik,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pemilik yang mahu menuntut semula motosikal yang disita disyaratkan supaya memasang semula ekzos asal terlebih dahulu.

“Polis IPD Kota Belud khususnya BSPT tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik yang mengubahsuai ekzos motosikal mereka sehingga mengeluarkan bunyi bising.

“Saya juga menyeru kepada masyarakat di Kota Belud supaya terus memberi kerjasama dengan pihak polis bagi membendung gejala tidak sihat ini terutama golongan belia,” katanya.

Tamat