JTK Sabah Kenalpasti 876 Kesalahan.


KOTA KINABALU: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah mengenalpasti 876 kesalahan dilakukan 142 majikan dalam Operasi Penguatkuasaan Pematuhan Penginapan Pekerjaan yang dijalankan sejak 2 Mac lalu.

Jumlah itu diperolehi hasil pemeriksaan terhadap 618 penginapan yang disediakan majikan membabitkan 5,140 pekerja.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, operasi berkenaan dijalankan mengikut Ordinan Darurat (Standard Minimum dan Kemudahan Pekerja) Akta 446 (Pindaan) 2021 (EO 446).

Katanya, tujuan ordinan ini adalah sebagai usaha memutus penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja asing.

“Berdasarkan rekod, kluster jangkitan Covid-19 terbanyak adalah daripada kluster penginapan pekerja asing.

“Oleh itu, majikan di Sabah perlu mematuhi ordinan ini seperti perakuan penginapan, bilangan pekerja dalam sebuah rumah, rumah yang selamat diduduki dan diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya selepas menyertai operasi yang dilaksana di sekitar Kota Kinabalu, hari ini.

Selain itu Yakub berkata, beberapa lagi aspek antaranya kemudahan-kemudahan asas lain seperti tandas, dapur, tilam, kipas, katil dan almari berkunci kepada setiap pekerja juga perlu dipatuhi.

Katanya, tindakan sepatutnya akan diambil terhadap majikan iaitu jika disabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau kompaun sehingga RM100,000 untuk setiap kesalahan.

“Dalam operasi ini, tiga lokasi penempatan pekerja di tapak pembinaan di sekitar Kota Kinabalu yang diserbu juga didapati belum mendapat sijil perakuan penginapan.

Sementara itu, Pengarah JTK Sabah, Wan Zulkifli Wan Setapa berkata, kebanyakan majikan memberi alasan tempat penginapan yang digunakan hanya penempatan sementara untuk pekerja.

Katanya, malah ada majikan yang menganggap mereka tidak perlu menyediakan penginapan perumahan yang sempurna untuk pekerja terutama di kawasan pembinaan.

Tamat