Anggota TLDM Cedera Ketika Daki Bukit.

Kota Kinabalu: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) cedera selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti mendaki Bukit Botak, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa berusia 41 tahun dikatakan sedang dalam perjalanan menuruni bukit berkenaan dalam keadaan cuaca hujan.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai tergelincir sehingga menyebabkan tulang paha kaki kanannya mengalami patah tulang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Agustavia Joe Guasi ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.15 petang.

Katanya, sepasukan 12 anggota dan pegawai kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Sebaik tiba, mangsa masih berada di bahagian atas bukit dan operasi membawa mangsa turun dijalankan menggunakan papan pengusung.

“Mengikut laporan awal, pasukan paramedik TLDM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi percaya kaki mangsa berkemungkinan patah akibat kejadian tergelincir berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agustavia berkata, mangsa berjaya dibawa turun sebelum dihantar mendapatkan rawatan lanjut di hospital berhampiran dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.19 malam.

Tamat