Update: Empat Lagi Berjaya Ditahan Semula.

Kota Kinabalu: Empat daripada enam pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal, di sini, semalam, berjaya diberkas semula.

Keempat-empat suspek warga Filipina berusia 20 hingga 40-an itu berjaya diberkas pihak berkuasa di sekitar radius 5 kilometer dari kawasan DTI kira-kira jam 8 malam.

Menurut sumber, operasi memburu suspek yang melarikan diri itu membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, setakat ini, hanya dua lagi PATI yang masih bebas dan operasi memburu kedua-dua suspek sedang giat dijalankan pasukan keselamatan.

“Kecekapan pasukan keselamatan menjalankan operasi berjaya mengesan empat daripada kumpulan suspek yang meloloskan diri dari DTI, semalam.

“Semua empat suspek yang ditahan sudah dihantar ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, gerakan memburu dua lagi yang masih bebas akan diperhebatkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan penahanan empat suspek terbabit.

Katanya, operasi memburu dua lagi suspek akan dipertingkatkan termasuk bantuan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM.

Dalam kejadian semalam, enam tahanan Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal, di sini, melarikan diri dipercayai untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, tiga daripada tahanan terbabit berjaya ditahan semula di dalam kawasan pagar oleh pegawai Jabatan Imigresen yang sedang membuat kawalan.

Tamat