Bayi Lelaki Ditemui Di Kebun Sawit.

Semporna: Seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan di sebuah kebun sawit di Kampung Lahat Lahat, Jalan Tanjung Kapor, di sini, hari ini.

Bayi cukup sifat yang masih hidup itu ditemui berbalut tuala dan diletakkan di celah pelepah sawit di kebun sawit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, bayi yang dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam ditemui penduduk kampung berkenaan kira-kira jam 11 pagi.

Katanya, sebaik bayi itu ditemui, lelaki terbabit terus menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk memaklumkan penemuan berkenaan.

“Sejurus menerima maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Semporna bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Sebaik tiba di lokasi penemuan, bayi lelaki yang masih bertali pusat itu terus dibawa ke Hospital Semporna bagi tujuan rawatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, sebentar tadi.

Mohd Farhan berkata, bayi seberat 2.85 kilogram itu disahkan dalam keadaan sihat dan kini ditempatkan di Wad Kanak-Kanak Hospital Semporna, untuk pemantauan rapi.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan usaha mengesan kedua ibu bapa mangsa sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi,” katanya.

Tamat