Mayat Mangsa Lemas Ditemui

Mayat Mangsa Lemas Ditemui

Papar: Seorang lelaki yang hilang selepas terjun ke laut semata-mata untuk menyelamatkan enjin sangkut botnya ditemui meninggal dunia di pesisir Sungai Benoni, di sini, hari ini.

Mangsa, Muhamad Hasyidan Haris, 27, yang keluar memancing bersama dua rakannya keluar di kawasan bagang di perairan daerah ini dilaporkan hilang sejak petang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu,  enjin sangkut yang digunakan dikatakan terjatuh ke dalam laut menyebabkan mangsa terus terjun untuk mencari enjin sangkut berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan terus hilang dipercayai dihanyutkan arus deras sebelum dua rakannya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan segera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 3.29 petang dan sepasukan anggota serta pegawai bomba terus dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dijalankan selepas menerima maklumat lanjut daripada rakan mangsa.

“Operasi SAR kemudian dijalankan dan anggota bertugas menurunkan bot untuk operasi atas air bagi mencari mangsa di kawasan sekitar.

“Bagaimanapun, operasi yang dijalankan selama lebih sejam itu tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda keberadaan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi kemudiannya ditangguhkan kira-kira jam 7 malam berikutan keadaan semakin gelap selain faktor keadaan air bergelora.

“Pada jam 6.20 pagi, hari ini, mangsa ditemui oleh orang awam dan pasukan bertugas terus bergegas ke lokasi.

“Mayat mangsa ditemui terdampar di pantai muara Jambatan Benoni iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa menyelam,” katanya.

Mohd Johainin berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

tamat