Aktiviti Daki Gunung Kinabalu Disyorkan Untuk Dihentikan

Kota Kinabalu: Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah mengesyorkan supaya aktiviti mendaki gunung kinabalu ditutup selama dua minggu bermula 25 September depan.

Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Dr Jamili Nais berkata, ini berikutan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan seorang pendaki gunung dari Tawau disahkan positif Covid-19.

Katanya, semua kakitangan Taman Kinabalu juga dinasihatkan supaya menjalani saringan kesihatan, hari ini, di Dewan Kinabalu.

“Semua malim gunung, porter dan kakitangan SSL serta Mt Torq yang bertugas pada 13 dan 14 September lalu juga digesa supaya menjalani saringan kesihatan.

“Selain itu, semua kakitangan yang terdedah rapat dengan pesakit juga diminta menjalani kuarantin di rumah sehingga keputusan ujian saringan kesihatan dikeluarkan JKNS,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dr Jamili berkata, JKNS juga akan meletakkan notis penutupan termasuk penghalang masuk ke Kompleks Taman Kinabalu.

Namun katanya, semua kakitangan Taman Kinabalu dan agensi yang mempunyai kepentingan akan dibenarkan masuk.

“Semua kemudahan awam akan perlu dijalankan  proses sanitasi atau menyahkuman untuk memastikan penularan wabak Covid19 dapat dibendung dalam kadar segera,” katanya.

Tamat