KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyambut baik keputusan kerajaan yang membatalkan sambutan Hari Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter berkata, keputusan itu adalah wajar, bukan hanya kerana keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, tetapi juga disebabkan kesulitan dihadapi rakyat akibat banjir dan tanah runtuh.
Katanya, keutamaan sekarang adalah untuk membantu mangsa-mangsa banjir dan tanah runtuh.
“Hari Malaysia sememangnya hari yang perlu kita kenang dan hormati, namun ianya agak tidak sesuai disambut dengan kesusahan dihadapi rakyat ketika ini.
“Di kala kita menghormati Hari Malaysia esok (hari ini), marilah juga kita doakan agar rakyat di negeri ini, khususnya yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh dipermudahkan segala urusan, salam takziah juga buat keluarga mangsa yang terkorban,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Priscella turut berkata, parti itu akan menggerakkan pasukannya bagi membantu mangsa-mangsa di kawasan terjejas.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew mengumumkan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, di sini, hari ini, dibatalkan.
Beliau yang juga Pengerusi Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2025 berkata pembatalan itu berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe sebelum ini juga meminta sambutan Hari Malaysia tahun ini dibatalkan berikutan bencana alam yang melanda Sabah.
Katanya, tumpuan seharusnya diberikan terhadap usaha membantu mangsa banjir dan tanah runtuh, selain pemulihan kerosakan disebabkan bencana alam itu.-JT.
