SIPITANG: Sokongan rakyat terhadap Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin semakin memberangsangkan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Ketua Bahagian KDM Sipitang, Sani Miasin, berkata perubahan ‘mood’ rakyat yang kini lebih memihak kepada parti tempatan memberi kelebihan kepada KDM untuk mencipta kejutan.
Menurutnya, ramai berpendapat bahawa KDM mempunyai kekuatan tersendiri dalam menarik sokongan di kawasan yang majoritinya dihuni komuniti KDM dan bumiputera lain.
“Jika sentimen ini terus memuncak di Sindumin, ia akan memberi kelebihan besar kepada KDM,” katanya dalam catatan terbaharu di media sosial.
Sani berkata, kejayaan parti itu bukan sesuatu yang mustahil kerana KDM pernah mencatat kemenangan luar jangka, seperti yang dibuktikan Datuk Wetrom Bahanda di Parlimen Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum lalu.
Beliau menegaskan kemenangan tersebut membuktikan sokongan terhadap parti tempatan adalah nyata, malah mampu menewaskan parti-parti besar.
“Prestasi ini akan meningkatkan keyakinan pengundi KDM di Sindumin, apatah lagi Wetrom kini diumumkan sebagai poster boy calon Ketua Menteri Sabah dari parti KDM,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sani turut menyatakan kesediaannya untuk menggalas tanggungjawab sekiranya diberi peluang bertanding di DUN Sindumin pada PRN-17.
“Setakat ini, semua jentera pilihan raya bagi DUN Sindumin sudah dilantik dan berada dalam keadaan siapsiaga bagi memastikan kemenangan calon KDM,” katanya.
Beliau menjelaskan antara isu utama yang sering dibangkitkan penduduk di kawasan itu termasuk pembangunan infrastruktur jalan raya, air dan elektrik yang tidak seimbang.
Katanya, jalan raya dari Kampung Mendulong ke Kampung Long Pasia merupakan contoh masalah perhubungan yang belum selesai walaupun kerap dijanjikan setiap kali pilihan raya.
“Tidak terkecuali juga isu projek bekalan elektrik solar dan loji air yang masih terbengkalai sehingga kini,” tambahnya.
Sani berkata, masalah lain yang sering diketengahkan ialah kekurangan peluang pekerjaan, menyebabkan ramai anak muda terpaksa berhijrah mencari rezeki di Kota Kinabalu atau Semenanjung Malaysia.
“Ketiadaan kilang Sabah Forest Industries (SFI) juga mengubah landskap sosioekonomi, sekali gus menjejaskan pendapatan rakyat Sindumin dan peniaga di daerah Sipitang,” katanya.
Beliau bertekad, jika diberi peluang menjadi wakil rakyat, untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan tersebut secara berperingkat, termasuk menambah baik sistem pengurusan pentadbiran di peringkat kampung, mukim dan daerah.
Menurutnya, KDM juga akan memberi penekanan kepada usaha menambah peluang pekerjaan melalui industri minyak dan gas, sektor hiliran serta pelancongan, yang dilihat berpotensi besar di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, Sani mengajak rakyat Sindumin supaya berani membuat perubahan dan memastikan pilihan mereka kali ini benar-benar membawa manfaat jangka panjang.
“Pilihlah calon dan parti yang bukan sahaja pandai berjanji, tetapi mempunyai visi jelas serta pelan tindakan konkrit untuk memajukan Sindumin dan Sipitang,” katanya.
Sani menegaskan fokus utama KDM ialah pembangunan ekonomi berasaskan potensi Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang mampu menjadi pemangkin peluang pekerjaan berkualiti, selain menarik pelaburan besar ke kawasan itu.
“Wakil rakyat yang dipilih mesti mempunyai keberanian dan kemampuan untuk memastikan projek pembangunan berjalan lancar, sekali gus membawa Sindumin ke tahap pembangunan yang lebih tinggi,” katanya.-JT
