Tanah runtuh ragut sembilan nyawa, seorang masih hilang

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Dua kejadian tanah runtuh berasingan yang berlaku di Kolombong dan Papar kelmarin meragut sembilan nyawa, termasuk kanak-kanak, manakala seorang lagi mangsa masih hilang.
Di Kampung Cenderakasih, Kolombong, tujuh mangsa ditemui maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah yang menimpa sebuah rumah pada pagi kejadian.
Mangsa pertama, Husaima Sarabani, 50, ditemui kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum empat lagi mayat mangsa dikeluarkan pada sebelah petang.
Antara yang terkorban ialah tiga kanak-kanak – dua beradik, Mohd Ilham Abdullah, 2, dan Siti Khadijah Abdullah, 4, serta seorang lagi mangsa, Mohd Izzan Gandi, 7.
Turut ditemui tidak bernyawa ialah Abdul Halik Darak, 50, yang dijumpai pada jam 2.20 petang. Dua mangsa terakhir pula ialah Maslina Abdul Halid, 29, dan anaknya, Mohd Noriman Abdullah, 9, yang dikeluarkan pasukan penyelamat pada jam 3.20 petang.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata semua mangsa ditemui tertimbus sedalam dua hingga tiga meter di bawah runtuhan tanah bercampur sampah.
“Anggaran jumlah timbunan yang menimbus rumah berkenaan adalah antara 20 hingga 30 tan. Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan tenaga manusia untuk menggali,” katanya.
Menurutnya, operasi di lokasi berkenaan membabitkan 20 anggota bomba, 30 anggota polis serta 15 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang berganding bahu mencari mangsa.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.02 pagi.
Katanya, sebuah jentera bersama 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Lintas yang diketuai PBK I Wilfred Sulai dikerahkan ke lokasi hanya kira-kira 20 minit selepas panggilan diterima.
Dalam masa hampir sama, satu lagi kejadian tanah runtuh berlaku di Kampung Marahang Tuntul, Papar, yang turut melibatkan sebuah rumah didiami tiga sekeluarga.
Dalam insiden sekitar jam 9 pagi itu, dua mangsa ditemui meninggal dunia selepas tertimbus, manakala seorang lagi penghuni rumah masih hilang setakat jam 5 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Rozlan Osman, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.20 pagi sebelum sepasukan 16 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi.
“Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) turut digerakkan untuk membantu. Dua mangsa yang ditemui disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan, sementara seorang lagi mangsa masih belum ditemui,” katanya.

Identiti kedua-dua mangsa di Papar masih belum dikenal pasti dan mayat mereka sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kedua-dua tragedi ini menimbulkan kebimbangan berhubung risiko tanah runtuh yang semakin meningkat, khususnya selepas hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu di negeri ini.

OPERASI MENCARI …. Pasukan bomba dibantu penduduk kampung untuk mencari semua mangsa yang terperangkap dalam runtuhan tanah di Kampung Cenderakasih, Kolombong.
Mangsa ditemui tertanam di dalam timbunan tanah, di Kg. Marahang, Tuntul, Papar.
MANGSA …. Mayat mangsa yang ditemui dalam kejadian di Kg. Marahang, Tuntul, Papar diserahkan kepada
pihak polis untuk tindakan selanjutnya.