KPDNHEP rampas produk penjagaan diri tiruan

KPDNHEP rampas produk penjagaan diri tiruan

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya merampas 4,038 unit produk penjagaan diri tiruan di tujuh premis di sekitar daerah ini.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, kegiatan itu dikesan dalam pelaksanaan operasi membanteras barangan tiruan oleh 20 Pegawai penguat kuasa KPDNHEP dan wakil pemilik cap dagang.

“Sebaik mendapat maklumat daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar yang berpangkalan di Kuala Lumpur, operasi dilakukan pada 18 dan 19 September lalu dan mengesan tujuh premis yang menjual 4,038 unit barangan penjagaan diri tiruan termasuklah alat pencukur serta syampul jenama terkenal.

“Semua barangan bernilai RM5,992.10 kemudiannya disita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KPDNHEP rampas produk penjagaan diri tiruan

Menurutnya, kes disiasat mengikut perenggan 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

“Sabit kesalahan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi lima belas ribu ringgit bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar manakala badan bukan pertubuhan perbadanan pula didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Diingatkan kepada peniaga supaya lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain serta memberi amaran kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang.

“Terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang,” katanya.

tamat