AMD berperanan penting laksana dasar pembangunan – Hajiji

TUARAN : Ahli Majlis Daerah (AMD) perlu memainkan peranan aktif dan berintegriti dalam menyokong pelaksanaan dasar pembangunan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan, AMD bukan sekadar penyambung suara rakyat, sebaliknya bertindak sebagai pelaksana dasar yang berkesan, khususnya dalam menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“AMD perlu lebih proaktif dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, selain mempunyai ilmu dan kefahaman jelas mengenai peranan serta tanggungjawab mereka.
“Ia penting bagi memastikan setiap dasar dan program kerajaan disampaikan dengan cekap, telus serta sampai kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Daerah Tuaran bagi penggal 2025–2027 di Shangri-La Rasa Ria Resort, pada Khamis.
Hajiji berkata, kejayaan pelaksanaan Pelan SMJ tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan AMD.
Katanya, AMD perlu berganding bahu dengan Kerajaan Negeri menyampaikan maklumat dasar dan inisiatif hingga ke akar umbi.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh beberapa projek pembangunan di daerah Tuaran termasuk menaik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, sektor pelancongan serta program keusahawanan.
“Sebesar mana pun peruntukan yang disalurkan, ia tidak akan memberi makna sekiranya penyampaian tidak cekap. Ahli Majlis perlu turun padang, lihat sendiri permasalahan rakyat dan bertindak dengan integriti serta keikhlasan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan AMD supaya menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan serta memastikan dasar yang digubal benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.
Katanya, pelantikan AMD Tuaran kali ini terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk bekas penjawat awam, ahli perniagaan, tokoh belia dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) mewakili empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu.
“Kepelbagaian ini merupakan satu kekuatan yang akan membantu merangka dasar serta menyantuni keperluan rakyat secara menyeluruh.
“Saya yakin dengan semangat kerja berpasukan, AMD mampu menggalas amanah ini demi kesejahteraan rakyat Tuaran,” ujarnya.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Isnin Aliasnih; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya.-Penerangan.

HAJIJI ketika ditemui media.
WATIKAH ….. Hajiji (empat kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada salah seorang AMD.