Oleh Wu Vuide
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan penurunan sebanyak 5.9 peratus kes penagihan dadah sepanjang tahun 2025 apabila mencatatkan 8,665 kes berbanding 9,607 kes pada tahun sebelumnya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Sabah turut merekodkan kadar pengesanan penagih dan penyalahguna bahan terendah di negara ini tahun lalu, iaitu seramai 230 orang.
Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan keberkesanan usaha bersepadu yang dilaksanakan oleh semua pihak dalam membendung penawaran dan permintaan dadah serta bahan terlarang di negeri ini.
“Pencapaian ini menunjukkan keberkesanan tindakan yang dilaksanakan secara menyeluruh oleh semua agensi dan pihak berkepentingan dalam menangani masalah dadah di Sabah,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Sabah di Menara Kinabalu, di sini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) atas komitmen berterusan memperkasa komuniti menerusi pelbagai program pencegahan dadah di peringkat akar umbi.
Katanya, usaha AADK mendekati masyarakat di Pulau Banggi, Kudat melalui Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah dengan kerjasama Skuad Antidadah Roda Dua baru-baru ini amat membanggakan dan wajar diteruskan.
Dalam pada itu, Hajiji turut memuji kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah yang berjaya melakukan beberapa rampasan besar dadah menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah.
“Ini membuktikan kesungguhan pihak polis dalam memerangi kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah yang terus menjadi keutamaan selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri.
“Semua kejayaan ini adalah hasil usaha berterusan dan tidak mengenal lelah dalam memerangi ancaman dadah yang masih dianggap musuh nombor satu negara,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus komited menyokong usaha menyeluruh bagi membanteras gejala dadah demi menjamin keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Bagi merealisasikan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan negeri akan terus menyokong segala inisiatif ke arah mewujudkan masyarakat bebas dadah serta menjayakan Agenda Bebas Dadah 2030,” katanya.
Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat MTMD Sabah ialah cadangan memperluaskan Program Tempat Kerja Bebas Dadah di sektor awam negeri serta memperkasa peranan Skuad Antidadah Sabah.

MESYUARAT …. Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Sabah di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu





