Lelaki ditahan di One Borneo dituduh di Mahkamah Sesyen Khas PATI

Oleh FARDY BUNGGA

KOTA KINABALU: Lelaki warga asing yang tular selepas ditahan di pusat beli belah One Borneo, Jalan Sulaman, di sini, 15 Mac lalu, dituduh di Mahkamah Sesyen Khas PATI.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya sebelum mahkamah menetapkan 30 April depan sebagai tarikh sebutan semula pra-perbicaraan kes.
Mahkamah turut memutuskan tertuduh Mohd Nico Ansboy tidak dibenarkan ikat jamin dan pihak peguam memohon sebutan semula kes pada 6 April depan bagi permohonan ikat jamin.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, susulan penangkapan suspek, pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, beberapa individu berkaitan turut dipanggil dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan sebelum tindakan seterusnya.
“Semakan lanjut turut dijalankan termasuk mendapatkan laporan daripada Jabatan Imigresen Malaysia serta pemeriksaan Forensik Pergigian bagi menentukan umur sebenar subjek.
“Kertas siasatan kemudiannya dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 31 Mac 2026 dan arahan tuduh telah diperolehi,” katanya dalam kenyataan media.
Sehubungan itu, Kasim berkata, Polis Daerah Kota Kinabalu akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya dalam proses perundangan yang sedang berjalan.
Selain itu, katanya, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan prosiding mahkamah.
Sebelum ini, penahanan lelaki terbabit tular di media sosial sehingga menarik perhatian ramai selepas didakwa sebagai remaja bawah umur tanpa kenegaraan.
Malah individu terbabit turut didakwa sebagai pelajar sekolah alternatif yang pergi ke pusat beli belah berkenaan untuk membeli barangan keperluan Aidilfitri untuk golongan asnaf.

KASIM MUDA