
Fardy Bungga
asiatimeskk@gmail.com
Lahad Datu: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya menahan tiga lelaki selepas didapati memiliki dadah di Perairan Sungai Ambuai, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam berkenaan, ketiga-tiga lelaki warga tempatan yang ditahan berusia lingkungan 29 sehingga 50 tahun.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi dijalankan hasil maklumat yang diterima daripada Unit Risikan Marin daerah ini.
Katanya, operasi yang diketuai seorang pegawai bersama tiga anggota itu menahan dan memeriksa sebuah perahu dengan enjin 15 kuasa kuda kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Hasil pemeriksaan perahu berkenaan mendapati terdapat satu paket kecil plastik lutsinar berisi hablur disyaki dadah, bersama dua gulung kecil aluminium foil dan satu straw berwarna putih di dalam kotak rokok jenama Absolute.
“Nilai rampasan dalam tangkapan ini dianggarkan berjumlah RM11,820 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama.
“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,”katanya.
Tamat





