Fardy Bungga
asiatimeskk@gmail.com
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan tiga lelaki Palauh bersama tiga perahu yang membawa muatan 1,160 liter minyak petrol tanpa kelulusan di kawasan Laut Tanjung Menimpa, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 26 hingga 40 tahun itu yang dilihat dalam keadaan mencurigakan ditahan untuk pemeriksaan.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali berkata, hasil pemeriksaan, juragan perahu berkenaan gagal menunjukkan dokumen membawa bekalan minyak daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Katanya, hasil risikan mendapati bekalan minyak petrol tanpa surat dari pihak KPDNHEP itu disyaki cuba di seludup ke negara jiran.

“Kes rampasan ketiga-tiga perahu ini dianggarkan bernilai RM40,269 berdasarkan harga pasaran semasa.
”Semua suspek dan barang rampasan dibawa balik ke Pangkalan Pasukan Polis Marin Semporna untuk tindakan selanjutnya,”katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Mohammad Pajeri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan, yang boleh di denda RM1juta dan penjara tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Mohammad Pajeri berkata, walaupun PPM memfokuskan penguatkuasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di perairan Sabah, namun, pihaknya juga tidak mengabaikan peranan dalam memerangi jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Tamat







