Fardy Bungga
asiatimeskk@gmail.com
SIPITANG: Dua wanita ditahan selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pemeriksaan di Jalan Batu 7, Sindumin, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3.30 petang, kedua-dua wnaita berusia 27 dan 37 tahun ditahan oleh Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh sendiri ketika bersama pasukannnya menjalankan tugas pemantauan Op Covid-19.
Champin ketika dihubungi berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek wanita itu menaiki kereta jenis Perodua Viva menghala dari Kampung Batu 1 ke kawasan Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR), Sindumin.
“Apabila ditahan dan ditanya tujuan hendak ke mana, suspek memberi alasan hendak pergi ke rumah rakannya yang tinggal di kawasan SAMUR, bagi tujuan mengambil kereta untuk dihantar ke Hospital Sipitang.
“Alasan yang tidak munasabah dan ekoran itu kedua-dua suspek ditahan kerana mengingkari PKP,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek juga dipercayai penagih dan pengedar dadah syabu.
“Siasatan lanjut ke atas suspek berusia 37 tahun itu mendapati mempunyai tiga rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah manakala suspek kedua tidak mempunyai rekod jenayah.
“Tangkapan dan rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana melanggar arahan tanpa alasan yang munasabah,” katanya.
Sehubungan itu, Champin menasihati orang ramai di daerah ini supaya patuh arahan PKP fasa 3 ini kerana polis bertindak lebih tegas menahan sesiapa sahaja yang melanggar perintah ini.
tamat




