SCCC Sumbangkan Bantuan Makanan Kepada Parlimen Sepanggar.

 

Fardy Bungga
asiatimeskk@gmail.com

Kota Kinabalu: Dewan Perniagaan Cina Sabah (SCCC) menyumbangkan 100 beg bantuan makanan dan 2,000 topeng muka kepada Parlimen Sepanggar untuk diedarkan.

Bantuan yang berbentuk bahan makanan asas itu termasuk beras, minyak masak, tepung dan gula serta 1,050 kilogram ikan basung.

Semua sumbangan berkenaan diberikan bagi membantu meringankan bebanan masyarakat yang kurang bernasib baik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman berkata, beliau amat berterima kasih kepada SCCC kerana bermurah hati menyampaikan sumbangan berkenaan.

Katanya, beliau berharap akan lebih ramai pihak terutamanya badan korporat dan syarikat yang tampil menghulurkan sumbangan.

“Pejabat Parlimen Sepanggar sudah mula menghulurkan bantuan sejak 16 Mac lalu dan sehingga kini, kita sudah memberikan bantuan makanan kepada hampir 8,000 keluarga.

“Sekarang ini, ada lebih kurang 17,000 lagi keluarga yang memohon bantuan menerusi atas talian kepada pejabat Parlimen Sepanggar,”katanya ketika ditemui di pejabatnya selepas menerima sumbangan daripada wakil SCCC.

Turut hadir menyampaikan sumbangan itu Datuk Frankie Liew, Pengerusi SCCC dan barisan pimpinan tertinggi badan berkenaan.

Sementara itu, Azis memberitahu pihak menunggu suntikan dana daripada Kerajaan Negeri sebanyak RM2 juta untuk setiap Parlimen.

Katanya, RM600,000 akan digunakan untuk ‘touch point’ yang berbentuk bantuan manakala selebihnya akan digunakan untuk projek-projek berskala kecil.

Tamat