Fardy Bungga
asiatimeskk@gmail.com
Beaufort: Seramai 641 individu ditahan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini, sejak 18 Mac lalu.
Berdasarkan jumlah itu, 496 individu yang ditahan ialah warganegara manakala 205 orang lagi adalah warga asing.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, walaupun PKP sudah memasuki fasa ketiga, namun masih ramai individu yang ingkar berdasarkan kepada tangkapan pesalah hampir setiap hari.
Katanya, ini terbukti dengan penahanan 199 individu dalam tempoh dua hari pertama fasa tiga sejak Ahad lalu.
“PKP yang sudah memasuki fasa ketiga ini akan memperlihatkan ketegasan polis dalam menguatkuasakan undang-undang tanpa kompromi.
“Kita akan ambil tindakan yang lebih tegas kepada mana-mana individu yang mengingkari PKP ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, semalam.
Mazli berkata, apa pun alasan mereka, pihak polis akan tetap bertegas untuk memastikan OP Covid 19 ini akan berjalan lancar.
Sehubungan itu, Mazli memberitahu sejak 18 Mac hingga 16 April lalu, sebanyak 337 kertas siasatan dibuka dan hasil siasatan dirujuk kepada pihak Mahkamah untuk pendakwaan.
Tamat




