Fardy Bungga
asiatimeskk@gmail.com
KOTA KINABALU: Seorang pemandu lori ditahan polis selepas ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam sekatan jalan di Jalan Tuaran Bypass, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, lelaki berusia 34 tahun itu turut mengaku sebagai pegawai kanan agensi kerajaan dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada petugas Op Covid-19.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk dan memberi alasan tidak munasabah.
Katanya, suspek mendakwa dia keluar daripada rumah untuk membeli minuman keras di salah sebuah kedai di Tebobon, Manggatal.
“Memandangkan suspek ingkar PKP yang dikuatkuasakan dan memandu dalam keadaan mabuk, anggota polis bertugas terus bertindak menahan suspek.
“Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai polis yang bertugas dan mengaku dirinya sebagai pegawai kanan agensi kerajaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.
“Siasatan mendapati suspek bukanlah pegawai kanan agensi kerajaan dan ketika dibawa ke lokap, suspek sekali lagi bertindak agresif menyebabkan anggota polis menggunakan kekerasan minima untuk mengawal keadaan.
“Suspek direman selama empat hari bermula semalam dan siasatan masih dijalankan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
tamat





