Fardy Bungga
asiatimeskk@gmail.com
Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sentiasa komited menjalankan tugas memastikan bandaraya ini bersih dan teratur sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman berkata, semua petugas dan agensi bahagian DBKK beroperasi seperti biasa mengikut jadual yang ditetapkan.
“Para petugas pembersihan ini mungkin bukanlah barisan hadapan yang memerangi wabak COVID-19, tetapi mereka adalah ‘Unsung Hero’ yang mengurus sampah dan kebersihan bandaraya setiap hari.
“Walaupun sentiasa terdedah dengan risiko jangkitan virus, para petugas tetap komited menjalankan tugas pembersihan bagi memastikan bandaraya Kota Kinabalu dalam keadaan bersih dan teratur,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nordin berkata, sebagai langkah pencegahan wabak COVID-19, DBKK mengambil langkah-langkah pencegahan dengan membekalkan sanitasi tangan, topeng muka dan bahan pencuci tangan kepada petugas dan orang awam.
Katanya, DBKK juga menjalankan kerja-kerja pembersihan dan nyah kuman (disinfeksi) di pasar-pasar awam setiap hari.
“Setakat hari ini, kira-kira 102 tempat awam sudah di nyah kuman (disinfeksi) termasuklah pasar-pasar awam, pasar harian, masjid, surau dan Jabatan kerajaan bagi membendung wabak COVID-19.
“Selain perkhidmatan kebersihan, perkhidmatan awam seperti pembersihan parit dan pemotongan rumput juga diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Nordin mengingatkan orang ramai supaya memasukkan topeng muka dan sarung tangan terpakai ke dalam plastik sebelum dibuang ke dalam tong sampah.
Katanya, langkah itu perlu sebagai pencegahan potensi jangkitan kepada para petugas dan orang awam.
Tamat



