250 Kotak Bekalan Makanan Disumbangkan Kepada Nelayan Di Empat Kawasan.

Fardy Bungga

Pix By: CV Chong

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Seramai 250 komuniti nelayan di empat kawasan menerima bantuan makanan daripada Repsol Malaysia dan Yayasan Nur Jauhar, hari ini, bagi meringankan bebanan mereka ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.

Antara keperluan makanan yang disumbangkan adalah beras, minyak masak, tepung, susu, sardin dan biskut yang dianggarkan bernilai RM80.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah, Myrna Jimenez yang hadir pada upacara penyerahan itu berkata, antara komuniti nelayan yang menerima sumbangan itu adalah dari kawasan Sepanggar, Tuaran, Putatan dan Kuala Penyu.

Katanya, sumbangan seperti ini amat dialu-alukan untuk membantu mereka yang terjejas selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan.

“Kita berharap lebih banyak lagi NGO atau pihak syarikat dan orang perseorangan tampil bagi menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan

“Kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan JPKA amat diperlukan kerana kita perlu memastikan setiap sumbangan selamat sampai kepada golongan sasar,” katanya ketika ditemui selepas majlis ringkas penyerahan sumbangan kepada ketua komuniti nelayan.

Turut hadir Presiden Yayasan Nur Jauhar Al Hambra Tun Juhar dan Penasihat Perhubungan Repsol Malaysia, Datuk Eddie Abdullah.

Myrna berkata, sokongan daripada pelbagai NGO dan penyumbang setiap kali berdepan bencana akan memudahkan JPKA mencapai misinya.

Sementara itu, Datuk Eddie Abdullah berkata, ini adalah kerjasama pertama membabitkan Repsol Malaysia dan Yayasan Nur Jauhar untuk memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, mereka memilih untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan nelayan kerana mereka sangat dekat dengan Repsol Malaysia yang beroperasi di laut.

“Walaupun Repsol Malaysia adalah dari sektor industri lain namun kami bersama nelayan mencari rezeki di laut,” katanya.

Tamat