
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Kota Kinabalu: Penularan Pandemik COVID-19 menunjukkan peningkatan kes setiap hari dan perkembangan ini amat membimbangkan seluruh rakyat Malaysia.
Apa yang pasti, keperluan asas di hospital juga mungkin semakin berkurangan dalam usaha menampung bilangan kes yang semakin meningkat.
Berbekalkan kesedaran itu, Syarikat Wizi Superior Glove (Malaysia) Sdn Bhd menyampaikan sumbangan sebanyak 250 Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dan 500 Topeng Muka kepada Hospital Tuaran, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).
Semua peralatan berkenaan disampaikan Timbalan Ketua Menteri Merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Madius berkata, sebagai menghargai jasa petugas kesihatan yang sentiasa berdepan risiko jangkitan wabak berkenaan, sumbangan seumpama ini amat dialu-alukan.
“Saya dimaklumkan, topeng muka serta alat perlindungan lain hanya boleh digunakan sekali untuk setiap operasi.
“Sekiranya terdapat tujuh operasi dalam sehari, maka setiap petugas yang terlibat perlu menggunakan tujuh set PPE dan topeng muka,”
katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, semua pihak memahami dan menyedari keadaan mereka yang terpaksa menjadi barisan paling utama memerangi wabak Covid-19 tidak kira siang atau malam.
“Mungkin bantuan ini kelihatannya tidak seberapa tapi ia cukup membantu bagi petugas kesihatan pada masa kini. Mereka sentiasa memerlukan kelengkapan perlindungan untuk menjalankan tugas.
“Untuk itu, saya ucap terima kasih kepada penyumbang iaitu Syarikat Wizi Superior Glove (Malaysia) Sdn Bhd dan kita harap akan lebih banyak syarikat yang akan tampil menyampaikan bantuan,”katanya.
Madius berkata, beliau berharap semua petugas barisan hadapan akan terus kuat dan sihat.
“Tanpa sumbangan seperti ini, kita tidak mampu menghadapi Covid-19,”tegasnya
Tamat







