Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Ranau: Dua lelaki tempatan ditahan selepas didapati sedang leka berurusan jual beli dadah di Kampung Lohan Ulu, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, kedua-dua suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah kedai di kampung berkenaan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, pemeriksaan polis terhadap kedua-dua suspek berjaya menemui dadah.
Katanya, kedua-dua lelaki berusia 30 dan 40-an itu kemudiannya ditahan pasukan polis untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan terhadap suspek pertama menemui satu paket plastik lutsinar yang berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 0.28 gram.
“Manakala pemeriksaan seorang lagi suspek pula telah menjumpai (1) bekas tin gula-gula jenama ECLIPSE MINTS yang mengandungi 11 paket plastik lutsinar yang berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu anggaran berat kasar 1.73 gram,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Sammy berkata, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Selain itu, kedua-dua suspek juga didapati ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuatkuasa sekarang.
”Kedua-dua suspek turut memiliki rekod jenayah lampau iaitu pernah didakwa mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau untuk tindakan lanjut dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dibawah Peraturan 11(1) Peraturan2 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah – Langkah Didalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.3) 2020.
Sehubungan itu, Sammy menyeru seluruh lapisan masyarakat Ranau supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan dadah.
Selain itu, beliau turut menegaskan kepada semua masyarakat Ranau khasnya supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dikuatkuasakan agar sama-sama dapat membendung daripada menularnya jangkitan Covid 19.
Tamat






