Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
BEAUFORT: Tiga sekawan yang didapati minum arak di belakang sebuah restoran di Beaufort Jaya, di sini, ditahan polis selepas didapati ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, ketiga-tiga lelaki berusia 23 hingga 26 tahun itu ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dalam Op Covid-19.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek berkumpul dan meminum minuman keras di belakang sebuah restoran.
Katanya, ketika diperiksa, ketiga-tiga individu berkenaan gagal memberikan alasan yang munasabah berada di kawasan berkenaan.
“Semua suspek mengetahui pelaksanaan PKP yang dikuatkuasakan dan faham akan implikasi dan kesan sekirannya ingkar dengan PKP.
“Namun, mereka tetap ingkar untuk keluar daripada rumah masing-masing untuk sesi minum bersama-sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azmir berkata, akibat tindakan itu, ketiga-tiga suspek ditahan dan dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.
“Melalui pengakuan semua suspek, mereka mengetahui arahan yang dikuatkuasakan ini tetapi suspek keluar rumah dan berada di dalam kawasan tanpa alasan munasabah.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.
tamat





