
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Menjelang kedatangan bulan Ramadan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan W.P Labuan dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah serta Pejabat Pembangunan Negeri Sabah melaksanakan program bantuan makanan kepada penduduk Pulau Mantanani, Kota Belud.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Sabah Laksamana Pertama Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya menyedari penduduk di pulau berkenaan berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan ekoran pergerakan yang terbatas disamping jarak perjalanan dari pulau ke Kota Belud yang mengambil masa 45 minit.
Katanya, memahami kesukaran itu, Maritim Negeri Sabah mengambil pendekatan membantu penduduk pulau dan usaha murni ini telah mendapat perhatian Datuk Samsuni Mohd Nor, dari Pejabat Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah dan Pejabat Pembangunan Negeri.
“Sumbangan ini sudah diedarkan kepada 179 keluarga di pulau berkenaan yang kebanyakannya bergantung kepada hasil laut sebagai sumber makanan harian mereka sepanjang tempoh PKP ini.
“Sempena menyambut bulan mulia umat Islam beberapa hari lagi, selain makanan harian seperti, beras, telur dan lain-lain, kita juga memberikan kurma untuk keperluan mereka berbuka puasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Mohd Rosli berkata, dikesempatan ini, Maritim Negeri Sabah turut menasihatkan penduduk di pulau supaya mengutamakan kebersihan dan mematuhi arahan semasa kerajaan supaya menularan COVID 19 ini dapat di putuskan segera.
“Sekali lagi Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim untuk mematuhi arahan PKP ini, menjaga kebersihan diri dan duduk di rumah dalam kita sama-sama membantu memutuskan rangkaian COVID-19 ini,” katanya.
Sementara itu, wakil penduduk Junaide Bollah, salah seorang penduduk Pulau Mantanani menyatakan mereka amat berbesar hati dan berterima kasih dengan bantuan yang disumbangkan oleh Maritim Malaysia dan Pejabat Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah.
Tamat








